Perenggan Pendahuluan
1. Dalam perenggan pendahuluan, pelajar hendaklah mengulas isu yang dijadikan perkara pokok dalam pendahuluan. Seterusnya, ulasan isu tersebut hendaklah dikaitkan dengan peristiwa pada masa kini. Ayat terakhir pula menunjukkan hala tuju karangan mengikut kehendak soalan.
2. Terdapat lapan bentuk pendahuluan bagi sesuatu penulisan karangan iaitu:
1. Bentuk isu semasa | 2. Bentuk berita | 3. Bentuk statistik | 4. Bentuk cerita |
5. Bentuk peribahasa | 6. Bentuk definisi | 7. Bentuk persoalan | 8. Bentuk sejarah |
3. Oleh itu, penulisan karangan pendahuluan boleh dibina mengikut bentuk pendahuluan sesuai dengan topik karangan.
Contoh Penulisan Pendahuluan
Tajuk Karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan. Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. |
Perenggan Isi
1. Selepas selesai menulis perenggan pendahuluan, pelajar perlu menulis perenggan isi.
2. Umumnya, perenggan kedua merupakan perenggan isi bagi isi yang pertama, isi yang kedua pula terletak pada perenggan ketiga dan seterusnya.
3. Oleh itu, pelajar-pelajar dikehendaki untuk menulis satu isi bagi satu perenggan. Walau bagaimanapun, pelajar juga boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat dan menyokong hujah atau huraian.
4. Secara keseluruhan, perenggan isi perlulah sekurang-kurangnya mengandungi empat hingga enam ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:
a. ayat judul
b. ayat huraian
c. ayat bukti/contoh
d. ayat penegas
Ayat Judul
1. Ayat yang mengandung kata kunci bagi topik yang dibincangkan atau turut merupakan isi utama topik karangan.
2. Ayat judul ini boleh diletakkan umumnya di bahagian awal. Namun begitu, turut boleh diletakkan di tengah atau di hujung sesuatu perenggan.
Ayat Huraian
1. Ayat huraian pula merupakan huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan. Hal ini bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.
2. Antara persoalan yang sering ditanya adalah seperti 'Mengapa?' dan 'Bagaimana?' bertujuan untuk memperkembangkan lagi huraian.
3. Oleh itu, karangan yang terbaik hendaklah mengemukakan beberapa ayat huraian.
Ayat Bukti/ Contoh
1. Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat yang mengandung bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi utama. Ayat ini bertujuan untuk memperkuat dan menyokong hujah-hujah yang dinyatakan.
2. Bukti dan contoh tersebut mestilah terdiri daripada bukti yang sahih dan tepat.
Ayat Penegas/ Rumusan
1. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan atau merumuskan isi dan huraian.
2. Ayat yang biasanya digunakan iaitu penanda wacana seperti “Tegasnya”, “Oleh itu”, dan “Sehubungan dengan itu”.
Contoh video tentang cara penulisan isi:
Contoh Penulisan Isi
Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Pembelajaran di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah merupakan kunci utama kejayaan seseorang murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Jadi, apabila murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat dirumuskan bahawa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah yang kondusif mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. |
Ayat Judul
Pembelajaran di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Ayat Huraian
Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah merupakan kunci utama kejayaan seseorang murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Jadi, apabila murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah.
Ayat Contoh/ Bukti
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius.
Ayat Penegas
Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat dirumuskan bahawa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah yang kondusif mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Perenggan Penutup/ Kesimpulan
1. Setiap karangan lengkap hendaklah wajib diakhiri dengan perenggan penutup atau kesimpulan.
2. Hal ini demikian kerana, perenggan tersebut berfungsi sebagai penutup bicara yang merumuskan isi-isi yang telah disampaikan dalam perenggan isi,
3. Perenggan kesimpulan ini mengandungi kesimpulan secara umum, menyatakan saranan, harapan dan pendirian serta masukkan ungkapan menarik.
Contoh Penulisan Kesimpulan
Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. |