

1. Terdapat empat proses untuk menghasilkan karangan yang baik, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
2. Proses menulis karangan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses tersebut adalah rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlu diberi tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
a) IKCHF (Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)
Contoh
Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan. Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. |
Isi
Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara.
Kesan
Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan.
Contoh
Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global.
Huraian
Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Fokus soalan
Pada pendapat saya, pelbagai faktor yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
2. Isi Karangan
a) 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)
Contoh
Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi, jelas menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. |
Apa
Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Siapa
Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
Mengapa
Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai.
Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan.
Bagaimana
Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah.
3. Penutup/kesimpulan
a) Kesimpulan, Huraian dan Harapan
Contoh
Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran
Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. |
Kesimpulan
Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya.
Huraian
Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.
Harapan
Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.
b) KCAPH (Kesimpulan, Cadangan, Ancaman, Harapan)
Contoh lain
Tajuk karangan:
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. Hal ini dikatakan demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya. Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit. Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. |
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita.
Cadangan
Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah.
Ancaman
Hal ini dikatakan demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.
Harapan
Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit. Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius.