01 Jun
Kaedah Penulisan Bahasa

Kemahiran bahasa

1. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM (2002) telah menjelaskan dengan terperinci bahawa aspek kemahiran bahasa merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran ini merupakan teras kepada penggunaan bahasa baku. 

2. Dalam penulisan karangan, penggunaan bahasa sangat penting dalam kemahiran menulis. Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan pelajar mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul serta tulisan yang kemas dan jelas. Kreativiti pelajar juga penting dalam menghasilkan penulisan yang baik.

Contoh penulisan ayat gramatis 

Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran

     Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.


Sistem Bahasa

1. Sistem bahasa pula terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan, dan sebutan dan intonasi. 

2. Dalam penulisan sesuatu karangan fakta, elemen tatabahasa, kosa kata, peribahasa dan ejaan sangat ditititkberatkan.


Contoh penggunaan 'peribahasa'

Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran

     Selain itu, murid-murid yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka dalam pelajaran. Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama ada secara individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid dalam pelajaran. Murid-murid akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang betul dan strategi untuk mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat pendedahan tersebut secara terus berbanding guru-guru di sekolah. Hal ini mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang diikuti, sekali gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Jadi, jelas menunjukkan bahawa murid-murid yang menghadiri kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran.


     Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi, jelas menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.


Penanda Wacana

1. Penanda wacana merupakan unsur bahasa yang digunakan dalam sesuatu penulisan atau perbualan untuk menghasilkan wacana yang koheren atau berkesatuan. 

2. Dalam penulisan karangan, penanda wacana bukan sahaja menghubungkan antara ayat, malah turut menghubungkan antara perenggan. Hal ini menunjukkan bahawa penanda wacana memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan suatu penulisan yang baik dan berkesan. 

3. Penggunaan wacana dalam penulisan terutamanya Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang sangat penting bagi melahirkan hasil yang berkualiti dan melahirkan atau menghasilkan sesebuah penulisan yang kritis dan puitis.

4. Contoh penanda wacana yang sering digunakan dalam penulisan karangan ialah:

Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya,
Urutanpertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya
Penyataan semulaiaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan
Contohcontohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai
Rumusanrumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata
Tempatberhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan
Waktuapabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya
Sebab dan Kesanoleh itu, sebab itu, justeru itu, lantaran, jadi, dengan itu
Bandinganseperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan 
Pengesahansebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya
Perenggan pendahuluanDewasa ini...
Belakangan...
Kebelakangan ini...
Baru-baru ini...
Mutakhir ini...
Akhir-akhir ini...
Dalam era globalisasi...
Perenggan isiDi samping itu...
Sehubungan dengan itu...
Walau bagaimanapun...
Perenggan penutupKesimpulannya...
Akhirnya...
Tegasnya...
Pendek kata...
Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa...

Contoh penggunaan penanda wacana

Tajuk karangan: Faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran

     Seterusnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia mata pelajaran sama ada di dalam atau di luar sekolah berupaya mencemerlangkan murid-murid. Program-program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah Teknik Menjawab , Bengkel Akademik, Ceramah Motivasi dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang seperti ini membolehkan murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi soalan-soalan yang mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang dengan guru dalam program yang dianjurkan. Tokoh motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali maka dia mampu menghadapi setiap cabaran dengan mudah kerana sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak sekolah mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.



Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING